Friday, May 22, 2009

Ish...ish...ish.... KEJAMNYA!

Sejak akhir-akhir ini kita disajikan dengan kisah ragut. Semalam berlaku lagi satu kes ragut di mana peragut itu dengan beraninya memasuki perkarangan rumah si mangsa serta membunuh sang ibu, seorang anak dan pembantu rumahnya sebelum berjaya melarikan SEBUAH LAPTOP! Mungkin disebabkan terlalu khayal di bawah pengaruh dadah menyebabkan si peragut tekad melakukan segala-galanya. Sedih memang sedih apalagi melibatkan nyawa yang tiada galang gantinya. Sebagai pedoman, di sini aku ingin berkongsi langkah-langkah bagi mengelakkan diri menjadi mangsa pembunuhan dalam kes ragut. Antaranya:
1. Bagi kaum lelaki, temanilah isteri, ibu atau saudara perempuan anda ketika mereka keluar mengambil duit di mesin ATM tak kira wang besar atau wang kecil kerana peragut hanya tahu meragut tanpa mengetahui samada si mangsa benar-benar mengeluarkan duit sikit atau banyak atau sekadar memasukkan duit di bank.
2. Pastikan, sekiranya anda di dalam situasi ketika diragut, jangan melawan. Biarkan sahaja dia mengambil beg anda kecuali anda ada seni mempertahankan diri hingga peringkat tali pinggang hitam! Namun begitu, aku nak ingatkan, malang selalunya tak berbau walaupun anda sehebat Bruce Lee.Yang perlu anda lakukan ialah bertenang serta mengecam nombor plat motosikal peragut (kebiasaannya mereka menunggang motosikal) dan kalau boleh cam sekali wajah serta perwatakannya untuk dilaporkan kepada polis.
3. Pastikan kereta anda berkunci sebaik sahaja memasuki kereta. Ini biasa berlaku kepada kaum wanita di mana mereka gemar meletak beg tangan serta barang berharga di tempat duduk sebelah (sekiranya mereka memandu). Kemudian, lupa kunci kereta. Bila sampai di simpang lampu trafik yang kebetulan berwarna merah, peragut dengan selambanya membuka pintu kereta dan terus mengambil beg tangan sebelum memecut laju dengan motosikalnya. Pernah juga berlaku kepada seorang teman di mana begnya diragut di atas pangkuannya sendiri walau suaminya sedang berada di sebelah! Kedua-duanya tergamam kerana terkejut akan betapa tekadnya si peragut!
4. Sekiranya anda menunggang motosikal, jangan gantung beg anda di badan atau membelitnya di motosikal. Letakkan sahaja di dalam bakul motosikal. Tapi pastikan duit dan Mykad anda selamat di dalam poket seluar! Ketika peragut cuba meragut, sekurang-kurangnya dia tidak menarik badan anda atau motosikal anda sekali dengannya yang boleh menyebabkan kecederaan serius atau maut sekiranya terjatuh!
5. Dan panduan ini sebagai tambahan. Bagi mereka yang takut rumahnya diserang perompak atau dimasuki pencuri seterusnya mengugut tuan rumah dengan senjata, jangan melawan. Kebiasaan perompak atau pencuri adalah orang yang dalam keadaan terdesak untuk meneruskan hidup akibat ekonomi yang semakin merudum serta mungkin mereka ini di bawah pengaruh dadah. Jadi, sentiasa mempunyai sedikit wang (dalam RM50-RM100) untuk ‘disedekahkan’ kepada mereka ini. Baik duit hilang dari nyawa melayang!
Ini sahaja beberapa panduan yang aku tahu. Kalau ada lagi, aku akan updatekan. Dan kalau kau orang ada yang lebih best, bolehlah kongsi bersama-sama sebagai panduan. Ingat, biar duit hilang dari nyawa melayang!

No comments:

Post a Comment